24 NOV – Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Makan Malam Apresiasi Rakan Strategik LZNK yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Duli Yang Maha Mulia diiringi oleh DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah dan YTM Dato’ Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah.
Turut hadir ialah Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan Pengerusi LZNK, Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan Khazali; Mufti Kedah, Yang Berhormat Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil bin Haji Awang; Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman; Ketua Pegawai Eksekutif EMZI Group of Companies, Tuan Haji Mohamad Faizal bin Zainon; ahli pengurusan kanan EMZI dan tetamu kehormat lain.
Majlis apresiasi ini diadakan untuk menghargai pembayar zakat, termasuk EMZI Group of Companies dan organisasi korporat lain, yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi komuniti asnaf di Kedah.
Kumpulan Syarikat EMZI kekal komited untuk memperkukuh kerjasama dua hala kami dengan LZNK. Kami berharap sumbangan zakat ini akan dimanfaatkan secara berkesan untuk meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan komuniti asnaf di Kedah.